Jerayawara seluruh negara oleh Pemuda Amanah sekiranya PN terus biadap

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan teragak-agak untuk menggerakan jerayawara seluruh negara jika pimpinan Perikatan Nasional (PN) masih berterusan mengeluarkan kenyataan bersifat biadap terhadap institusi diraja dan rakyat.

“Kalau mereka (PN) berterusan dengan kenyataan-kenyataan yang biadab kepada institusi diraja dan juga rakyat, kami Pemuda AMANAH akan menggerakan ‘road show’ ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk menyedarkan rakyat kebiadapan ini tidak boleh diteruskan dan perlu diberhentikan,” kata naib ketua pemuda AMANAH Abbas Salimi Azmi.

”Tujuan jerayawara itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebiadapan yang telah dilakukan oleh pimpinan ahli politikus ini yang tidak menghormati undang-undang dalam negara kita,” tegas beliau

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Pintu 3 Istana Negara, hari ini untuk menghantar Memorandum berkaitan kebiadapan Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadi ialah presiden Pas dan timbalan pengerusi PN yang mencanangkan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal jatuh kerana usaha tebuk atap kerana ia amalan biasa dalam politik.

“Itu satu kenyataan politik (Kerajaan Perpaduan tumbang) dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling (tadah). Itu berlaku.

“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri. Ada berlaku. Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku,” kata Hadi kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Abbas menyifatkan kenyataan Hadi sebagai mengingkari institusi Raja-Raja Melayu.

BACA JUGA: MP Marang biadab, tidak hormati titah Agong