‘Tak wujud soal kartel dalam isu daging lembu’ – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan kewujudan kartel dalam isu pengeluaran daging lembu tempatan.

“Soal kartel tak timbul. Kita izinkan import dari luar kerana pengeluaran tempatan hanya mampu menyediakan 20 peratus sahaja untuk daging kambing dan lembu di Malaysia ini.

“Dengan itu, sebahagian lagi (bekalan daging) ditampung dari (pengimport) luar,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang-PN) yang bertanya sama ada wujud kartel daging menyebabkan kerajaan hanya menyasarkan 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi sektor daging lembu.

Menerusi Dasar Agro Makanan 2021-2030, kementerian menyasarkan untuk memperluas penternakan lembu secara fidlot iaitu membangunkan semula ladang mega ternakan lembu bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan, sekaligus mencapai sasaran 50 peratus daging (SSL) menjelang 2030.

Menurut Mohamad, masalah meningkatkan SSL daging lembu dalam jangka waktu pendek adalah disebabkan oleh penternak yang menghadapi kekangan kos untuk membesarkan ternakan mereka.

Walau bagaimanapun ikhtiar untuk mengatasi masalah ini sedang diusahakan dengan kerjasama Bank Agrobank.

“Kita sedang berusaha dengan begitu kuat supaya Agrobank misalnya tumpu betul-betul untuk membantu mereka yang nak terlibat, dah terlibat supaya mereka mampu besarkan ternakan mereka itu.

“Dan kita harap dia (penternak) dapat menambah bilangan lembu, kambing, kerbau ini dalam masa yang kita rancangkan itu.

“Tapi ia bergantung juga pada suasana yang berlaku misalnya antaranya, bila makanan bahan ternakan terlalu mahal dalam masa dua tahun lalu akibat PKP dan Covid-19, ia sedikit sebanyak menjejaskan pembesaran ternakan itu,” kata beliau

Di bawah Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030, Malaysia dalam usaha untuk mengukuhkan faktor pemboleh hidup upaya pelaburan bagi meningkatkan sumbangan pertanian dan agromakanan terhadap ekonomi dan sosial negara.

Salah satu usaha dilaksanakan kementerian bagi meningkatkan pelaburan dalam sektor pertanian dan agromakanan ialah dengan memberikan insentif cukai bagi menggalakkan penyertaan peniaga dalam pengeluaran bahan makanan dalam subset tanaman perternakan dan perikanan.

BACA JUGA: Malaysia-Iran tingkat kerjasama teknologi, penyelidikan pertanian

Â