Ketika pemimpin Pas perlekeh, doktor akui Menu Rahmah sihat dan seimbang
Ketika pemimpin Pas memperlekeh Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah, seorang doktor perubatan berpendirian sebaliknya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat, Menu Rahmah merupakan sajian yang seimbang dan sihat daripada segi kos dan kandungan.
Berdasarkan pemerhatiannya terhadap hidangan Menu Rahmah di Mydin Senawang, beliau berkata, makanan yang disediakan itu mempunyai kandungan kalori, protein dan serat yang mencukupi.
“Tidak mempunyai elemen yang berisiko seperti lemak, garam dan gula tinggi atau lain-lain elemen berisiko,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Sebelum ini, pemimpin termasuk ahli Parlimen Pas dan penyokong parti tersebut dilihat mempersenda inisiatif dalam membantu mengisi perut rakyat itu.
Paling mengundang kecaman orang ramai adalah kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mengaitkan penyakit kanser, ‘autoimmune disease’ dan autisme semasa berbahas menyentuh isu Menu Rahmah.
“Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang ‘low quality’ (berkualiti rendah) dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, ‘autoimmune disease’, kepada autisme dan sebagainya,” dipetik daripada penyata rasmi Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat pada 27 Februari lalu dalam bentuk gurindam, selepas mengganggap ucapannya itu disalah erti.
Minggu lalu pula, tular di media sosial, klip video TikTok aksi Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Hanafiah Mat mencurahkan air minuman oren ke dalam pinggan berisi nasi.
Selepas mengundang kecaman orang ramai, pemimpin Pas tersebut menegaskan bahawa aksinya menjamah nasi bersama rakan di sebuah kedai di luar Terengganu itu tidak mempunyai kaitan dengan Menu Rahmah.
“Apa yang dipaparkan dalam video itu adalah menu makan tengah hari saya apabila hidangan tersebut berlaukkan seekor ikan, dua jenis sayur dan telur goreng tanpa kuah kerana hidangan tersebut memang tidak disediakan kuah.
“Kami juga dicaj kira-kira RM15 untuk dua orang. Saya tidak menyentuh soal Menu Rahmah dan langsung tiada niat menghina golongan tertentu kerana itu bukan diri saya, sebagai wakil rakyat saya faham denyut nadi rakyat,” lapor Sinar Harian.
Justeru, Hanafiah menganggap ada pihak lain yang tersilap tafsir mengenai video itu dan menuduhnya dengan dakwaan yang bukan-bukan.
BACA JUGA ‘Mydin perlu beli banyak kordial oren bulan puasa ini’