McDonald’s lancar Menu Rahmah

Dengan hanya RM5 anda akan mendapat satu burger dan satu teh ais yang sedap di restoran makanan segera McDonald’s sekarang.

Atau anda boleh memilih bubur nasi McD dengan teh ais melalui Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh rangkaian kedai makanan segera itu.

Menu Rahmah McDonald’s dilancarkan oleh promoter Menu Rahmah Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan bahawa Menu Rahmah bukanlah menu kelas bawahan sebaliknya ia adalah usaha murni melibatkan peniaga.

Salahuddin berkata ikhtiar pihak pengusaha makanan wajar diberi sokongan daripada semua pihak agar keberkesanan inisiatif ini terus berpanjangan.

Salahuddin membantu seorang pelanggan kanak-kanak menikmati Menu Rahmah McD hari ini.

“Menu Rahmah bukan sahaja khusus kepada golongan berpendapatan rendah tetapi ia juga terbuka kepada mana-mana yang ingin mencuba juadah ini.

“Tidak wajar mengatakan juadah Rahmah hanya untuk kelas bawahan sahaja.

“Sebagai pemilik restoran kita pasti mahu memberi hidangan yang terbaik untuk pelanggan,” kata beliau selepas merasmikan Program Pelancaran Menu Rahmah Mc Donald’s Damansara Mutiara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan menu tersebut tidak berkualiti dan mengundang pelbagai penyakit.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden Ketua dan Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Selain itu, Ahli Parlimen Pulai itu turut menghargai usaha syarikat gergasi industri makanan yang berkesudian untuk menyahut saranan KPDN.

“Pihak kementerian amat berterima kasih atas usaha murni syarikat besar bersama menyertai Menu Rahmah.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan mereka untuk bersama-sama meringkan beban rakyat Malaysia, ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden parti AMANAH berkenaan juga ‘memberi bayangan’ untuk membuat siri jualan Rahmah bagi membantu golongan yang memerlukan menjelang musim raya nanti.

“Minggu depan saya akan mengumumkan Jualan Raya melibatkan kerjasama syarikat kain yang terkemuka, sama-sama kita nanti,” jelasnya.

Untuk rekod, lebih 300 buah cawangan Mc Donald’s mengambil bahagian dalam program Menu Rahmah.

Antara sajian yang boleh didapati ialah burger dan bubur ayam serta teh ais hanya sebanyak RM5 sahaja.

 

Gambar oleh WAN ZAHARI SALLEH

 

BACA JUGA Ketika pemimpin Pas perlekeh, doktor akui Menu Rahmah sihat dan seimbang

JUGA Menu Rahmah, IPR pastikan harga makanan siap lebih rendah