Pemuda AMANAH dan AMK lapor polis isu Hadi

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataan yang didakwa sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Exco Pemuda AMANAH, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, laporan itu bertujuan agar pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana kenyataan berkenaan pengakuan Hadi Awang bahawa terdapat usaha yang giat dijalankan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

“Kami merasakan bahawa ini adalah salah satu bukti atau tindakan yang tidak bertanggungjawab dan juga dilihat sangat bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan dengan jelas oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong di dalam titah baginda di Parlimen baru-baru ini.

“Hadi Awang merupakan seorang Ahli Parlimen tetapi beliau masih lagi dengan tindakan serta gembira, tanpa segan silu menyatakan bahawa usahanya (menjatuhkan kerajaan) telah berjalan dan mengakui bahawa mereka (PN) hendak menjatuhkan kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi ke atas Hadi.

Beliau turut mendesak agar pihak polis dapat menjalankan siasatan segera bagi mengambil tindakan terhadap Presiden Pas yang terlibat dalam usaha untuk mengguling atau menjatuhkan kerajaan yang telah ditubuhkan secara sah oleh Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Setakat ini Hadi Awang secara terbuka menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan gagal kerana usaha tebuk atap. Hadi ialah presiden Pas dan timbalan pengerusi Perikatan Nasional.

Pemimpin Pas, Hadi Awang yang mahukan kejatuhan kerajaan perpaduan menerusi kaedah tebuk atap.

Dalam pada itu, Fadhli turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Hadi Awang yang secara jelas akan menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

“Jadi ini jelas menunjukkan satu sikap angkuh dan bertentangan dengan undang-undang, yang mana boleh mengakibatkan huru-hara dan keadaan kacau-bilau di peringkat negara seterusnya menyusahkan terutama daripada segi pelabur.

“Sebagai anak muda, kami merasakan bahawa sekiranya (perbuatan) ini diteruskan, maka pelabur akan takut untuk melabur di Malaysia,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim turut melahirkan kerisauan dengan kenyataan Hadi Awang yang menyatakan bahawa kenyataan Agong merupakan satu kenyataan yang tidak menjadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi.

“Kerisauan terjadi apabila kenyataan daripada Presiden Pas yang menyentuh Agong bahawa ke bawah Duli Tuanku pun tidak boleh beri kata putus.

“Bagi saya itu sudah melampau dan pada asasnya parti yang berasaskan Melayu Islam ini sepatutnya menjadi keutamaan untuk setia kepada Raja dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, sayap anak muda kedua-dua parti komponen Kerajaan Perpaduan itu turut mahu tindakan drastik dikenakan kepada sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat kestabilan negara.

Dalam perkembangan berkaitan Pemuda AMANAH turut menghantar memorandum ke Istana Negara berkaitan perkara yang sama.

BACA JUGA: MP Marang biadab tidak hormati titah Agong