Perikatan Nasional pembangkang lemah di Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara Shatiri Mansor menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang sebagai lemah dan tidak menyerlah di Selangor.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti PN di negeri itu yang dilihat seolah-olah tidak memandang serius isu berkaitan rakyat dan tidak menampakkan kesungguhan mereka terutama dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Saya lihat pembangkang (PN) di Selangor terutama pada sesi persidangan DUN, mereka (PN) langsung tidak menyerlah dan hampir tiada suara mereka didengari.

“Hal ini membuktikan PN telah gagal mengambil serius peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya diisi oleh mereka (PN),” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi hari ini.

PN terdiri daripada gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan. Ia mempunyai lapan Adun di Selangor. Tujuh dari mereka merupakan ahli Bersatu dan seorang dari Pas.

Adun dari Bersatu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram), Sallehudin Amiruddin (Kuang), Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang). Pas pula diwakili oleh Datuk Dr Yunus Hairi (Sijangkang).

Jika dibandingkan, Pakatan Harapan mempunyai perancangan yang jelas mengenai hala tuju masa hadapan Selangor. PH juga membuktikan kebolehannya untuk memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan sejak tahun 2008 apabila BN tumbang di Selangor.

Beliau yang juga naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata rakyat di Selangor sudah bijak membuat penilaian terhadap soal kemampuan dan kebolehpercayaan terhadap pentadbiran PH untuk dijadikan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan persediaan jentera PH untuk terus mengekalkan kemenangan di Selangor dan khususnya di Kota Damansara.

“Kita sudah cukup bersedia dan kemungkinan besar akan menggunakan kekuatan jentera dan sukarelawan yang sama ketika bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Saya rasa di DUN Kota Damansara tidak akan mempunyai masalah besar kerana ramai orang PN terutama Pas tidak berapa nampak di sini malah gerak kerja mereka (PN) tidak menyerlah,” kata Shatiri yang mewakili PKR.

Shatiri berharap agar pengundi memberikan sokongan kepada PH dan keluar mengundi agar masa depan mereka terjamin.

Buat masa ini, gabungan PH dan Barisan Nasional memegang 45 kerusi daripada 56. Baki tiga kerusi dipegang oleh Warisan, Pejuang dan Bebas. Kerusi Batang Kali yang dipegang Pejuang telah diisytihar kosong.

Selangor bakal menyaksikan pilihan raya negeri selepas bulan Jun.

Selain Selangor, negeri lain yang akan turut menyaksikan pilihan raya negeri ialah Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat