Selangor bagai sebutir permata berharga rebutan PN
Jika Malaysia mempunyai sebutir permata paling besar dan berharga, itu adalah negeri Selangor Darul Ehsan, tegas Altimet.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata oleh kerana Selangor menjadi begitu berharga, ia kini menjadi rebutan dan idaman Perikatan Nasional (PN) untuk menguasainya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, prestasi kemajuan dan kemakmuran yang telah ditunjukkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu turut menjadi faktor penyebab PN beria-ia untuk menguasai Selangor.
“Sekiranya pembangkang (PN) tidak meletakkan sasaran untuk menguasai Selangor, mereka (PN) bukanlah seorang pemimpin yang berpandangan jauh.
“PH tidak boleh kawal cubaan PN untuk merampas Selangor tetapi PH akan cuba kekalkan negeri ini pada landasan yang betul supaya terus kekal makmur,” katanya ketika ditemu ramah di pejabat Harapan Daily baru-baru ini.
Katanya, siapa pun yang berkeinginan untuk memimpin negara Malaysia secara keseluruhannya perlu mensasarkan negeri Selangor terlebih dahulu supaya dapat dijadikan contoh untuk mentadbir negeri dan seterusnya negara dengan baik.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Ampang berkata dirinya cukup yakin dengan kebijakan rakyat Selangor untuk memilih pemimpin di negeri itu kerana mereka sendiri boleh melihat hasil dan menilainya.
Dalam pada itu, Altimet turut menghargai segala usaha yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbetulkan segala kepincangan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Saya nampak usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan untuk memperbaiki (negara) tetapi tidak semua akan dapat seperti yang dikehendaki.
“Buat masa ini saya nampak usahanya dan sebagai rakyat biasa, saya menghargai usaha tersebut,” ujarnya.
BACA JUGA Selangor sasar bina 60,000 unit rumah menjelang 2025
Â