Aktivis PAS pertikai MAIDAM, tuduh seret Istana Terengganu bantutkan dakwah

Seorang aktivis PAS mempertikaikan surat larangan ahli politik berceramah yang ditandatangani Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Syaikh Harun Syaikh Ismail dimulai dan diakhiri dengan menyebut perkenan serta titah perintah Sultan Terengganu.

Zakaria Ismail (gambar) yang juga guru bahasa Arab berkata pihak Istana Terengganu telah diheret dalam usaha membantut usaha dakwah dan takmir.

Katanya surat itu sangat tidak menggambarkan hasrat Istana Terengganu yang terkenal dengan pengiktirafan yang tinggi kepada para ulamak, asatizah dan pendakwah di negeri itu.

“Surat itu langsung tidak menggambarkan minat MAIDAM untuk lebih merancakkan dakwah dan memeriahkan majlis ilmu di Terengganu. Ia lebih menampakkan minat MAIDAM untuk menunjukkan kuasanya.

“MAIDAM jelas tidak merancang untuk mengembeling usaha semua pihak bagi meningkatkan kualiti dakwah dan penyebaran ilmu di Terengganu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 7 Mac lalu.

Zakaria mendakwa Syaikh Harun menjustifikasikan tindakan MAIDAM itu untuk memelihara kesucian institusi masjid, mengelakkan kegelisahan dan keresahan masyarakat kerana ada pihak tertentu yang menggunakan masjid untuk aktiviti-aktiviti yang bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian.

“Walhal masyarakat Terengganu tidak pernah resah dengan kuliah yang disampaikan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husin Awang.

“Bahkan mereka mendapat banyak manfaat, nasihat dan bimbingan daripada dua pemimpin utama PAS ini sejak sekian lama. Kedua tokoh ini juga tidak pernah berceramah politik kepartian di masjid,” dakwanya.

Di Terengganu katanya sudah lebih 30 tahun tidak ada isu solat dua imam, kafir mengkafir dan tidak makan sembelihan orang daripada parti tertentu memandangkan masyarakat telah matang dan tidak mudah berpecah belah hanya kerana perbezaan parti politik yang mereka sokong.

“Kelihatannya hanya MAIDAM yang masih resah gelisah,” ujarnya.

Mempertahankan tokoh politik PAS, Zakaria berkata kebanyakan tema ceramah kedua tokoh politik tersebut sering berlegar di sekitar ilmu tafsir, hadith, akidah, sirah, hukum feqah, tazkirah dan kaedah-kaedah penyucian jiwa dengan zikir dan amal soleh.

“Jika menyentuh tentang politik, mereka hanya menghuraikan sistem politik Islam disertakan dengan contoh-contoh daripada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan para khalifah.

“Mereka turut menyentuh tentang kepentingan umat Islam mengambil tahu urusan politik agar tidak mudah ditipu dan diperdayakan oleh pelbagai agenda yang merugikan agama dan umat Islam,” katanya.

Untuk rekod Masjid Rusila, Marang tempat Abdul Hadi berceramah dan menjadi imam pernah dijadikan sebagai lokasi program parti termasuk Muktamar Tahunan PAS.

BACA JUGA: PH Terengganu alu-alukan ketegasan MAIDAM larang ahli politik berkuliah di masjid, surau

Â