Anwar: Siasatan SPRM ke atas Mahiaddin tidak bermotif politik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau campur tangan dalam kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin merangkap presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan ahli parlimen Pagoh.

“Saya tidak campur tapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Peguam Negara tengok kes. Jadi orang yang setuju dan tidak setuju tengok kes, apa pendakwaannya, apa pertuduhannya,” kata Anwar

Beliau menegaskan kepada pengkritik bahawa siasatan oleh pihak berkuasa akan melibatkan penahanan dan ini tidak bermaksud tindakan tersebut mempunyai motif politik.

“Justeru itu adalah amat penting untuk mengikuti kes ini untuk mengetahui samada kes itu berdasarkan fakta dan bukannya perseteruan politik.

“Belum tahu apa keputusan, setakat ini hanya dipanggil tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu ada motif politik, maknanya tak bolehlah tangkap. Maknanya kes-kes rasuah besar lain semua lepas. Apakah itu betul? Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes ke tidak.

“Ini urusan SPRM. Sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya. Cuma mereka beri maklum dipanggil dari segi implikasi politiknya.

“Saya nak tegaskan di sini semua orang yang mahu negara ini bersih dari rasuah harus lihat kes Bersatu sama ada benar ada pendakwaan politik yang disebut ataupun berdasarkan fakta.”

Pagi ini Mahiaddin telah ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan berkaitan program Jana Wibawa.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan bahawa Mahiaddin akan didakwa di mahkamah esok.

BACA JUGA: Mahiaddin tiba di ibu pejabat SPRM

Mahiaddin akan didakwa esok