Belanjawan 2023 lulus dengan sokongan majoriti

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023 peringkat dasar.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dengan undian suara majoriti selepas bacaan kali kedua.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan penggulungan kementerian kira-kira 40 minit.

Seramai 167 Ahli Parlimen selesai membahaskan Belanjawan 2023 yang berlangsung selama enam hari bermula 27 Februari.

Sejak semalam pula, sesi penggulungan oleh setiap kementerian berlangsung.

RUU Perbekalan 2023 yang dibentangkan pada 24 Februari lalu merupakan belanjawan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Sejumlah RM388.1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan, manakala RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

BACA JUGA Cukai taksiran rumah strata, teres Putrajaya dikurangkan lima dan 20 peratus – PM