Insurans percuma manfaatkan sejuta pelajar di Selangor
Sejuta pelajar di Selangor bakal menikmati perlindungan insurans percuma secara automatik apabila sesi persekolahan dibuka mulai Mac.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata murid tahun satu hingga pelajar tingkatan enam termasuk swasta bakal menerima perlindungan sehingga RM10,000 menerusi Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
“Ada lebih 900,000 murid darjah satu hingga tingkatan enam. Itu hitung kasar untuk sekolah kebangsaan dan persendirian (swasta) mungkin tambah lagi jadi sejuta pelajar.
“Sebelum Ramadan, kita aturkan secara automatik anak-anak yang pergi sekolah akan berdaftar dengan INSAN bagi perlindungan diri,” katanya memetik laporan Selangorkini.
Menurutnya, Selangor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia, bahkan di Asia Tenggara yang menyediakan perlindungan insurans percuma kepada rakyat.
Jelasnya, pentadbiran kerajaan negeri Selangor menyasarkan lima juta penduduk untuk menyertai skim itu sehingga akhir tahun ini.
“Setakat ini, lebih tiga juta mendaftar. Skim ini untuk enam juta individu dan Selangor ada hampir tujuh juta penduduk.
“Ini bermakna hampir keseluruhan rakyat akan dilindungi,” ujarnya.
Pada Januari lalu, Amirudin mahu berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membantu murid berdaftar dengan INSAN untuk melindungi mereka.
INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Pemegang nombor kad pengenalan atau pengundi Selangor dipelawa untuk mendaftar INSAN sebelum 30 September 2023. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.wavpay.net
BACA JUGA Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat
Â