IPR akan keluarkan miskin tegar dari B40

Kerajaan berharap agar golongan miskin tegar yang bakal menyertai Insiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan berjaya keluar dari kumpulan B40.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli IPR akan dapat menjamin penjanaan pendapatan tanpa bantuan kerajaan.

Rancangan di bawah IPR akan membantu 136,000 keluarga miskin tegar dengan pendapatan stabil di sekitar RM2,000 hingga RM2,500.

“Untuk keluar dari miskin tegar, pendapatan itu mesti RM1,500 sebulan kerana garis kemiskinan tegar ialah lebih kurang RM1,200.

“Tapi tidak bermakna mereka perlu terus berada dalam satu sistem yang bergantung kepada bantuan berterusan. Itu tak menyelesaikan masalah.

“Garis kemiskinan mungkin akan naik kepada RM1,400, jadi kita akan ada kumpulan baru. Tapi mereka yang dah melalui proses ini (menyertai IPR), mereka tidak akan jatuh lagi ke situ.

“Maka program seperti ini mensasarkan miskin tegar akan terus naik kepada kumpulan baru dan bukan terus beri bantuan kepada mereka yang terpaksa bergantung pada bantuan kerajaan,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran-PN) yang bertanya faktor yang menggagalkan usaha kerajaan untuk menoktahkan golongan miskin tegar dalam negara.

Sementara itu Rafizi ketika menjawab soalan asal Yuneswaran Ramaraj (Segamat-PH) tentang pendapatan peserta IPR, beliau berkata, peserta berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Pendapatan itu katanya boleh diperoleh di bawah tiga inisiatif IPR iaitu Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Di bawah INTAN, Rafizi berkata, kerajaan persekutuan akan menyediakan 800 ekar bersamaan 323.7 hektar tanah sebagai permulaan untuk diusahakan oleh peserta usahawan tani sebelum diperluaskan kepada 5,000 ekar bersamaan 2023.4 hektar menerusi kerjasama daripada kerajaan negeri.

Inisiatif INSAN melibatkan penjualan makanan melalui mesin layan diri. Kerajaan menyasarkan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan dengan sewaan mesin layan diri sekitar RM700 hingga RM800 sebulan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama 2 tahun.

Di bawah IKHSAN pula, kerajaan menetapkan matlamat serampang dua mata di mana peserta boleh bekerja di agensi kerajaan dalam sektor perkhidmatan contohnya pembersihan di pejabat atau tandas awam.

“Melaui IKHSAN kita pastikan tugas ini diberikan terus kepada golongan miskin tegar dan B40.

“Oleh kerana kemampuan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza ikut tempat, maka sebab itu kerajaan akan tambah supaya pendapatan bersih dalam perkhidmatan ini adalah sebanyak RM2,000 sebulan dalam tempoh 24 bulan,” katanya.