Jatuhkan kerajaan: Polis sahkan akan siasat Hadi
Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya telah menerima laporan terhadap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Semalam, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis berkaitan pengakuan Abdul Hadi itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Kes berkenaan akan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” kata Eng Lai ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu kenyataan Hadi yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 6 Mac lalu, Abdul Hadi berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN menjatuhkan kerajaan berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia.
Tegas Ahli Parlimen Marang itu lagi, ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya ataupun Surat Akuan Berkanun (SD).
Dalam perkembangan berkaitan, semalam juga Pemuda AMANAH turut menghantar memorandum ke Istana Negara berkaitan perkara yang sama.
Pengakuan Abdul Hadi berkenaan usaha menjatuhkan kerajaan dilihat bercanggah dengan kenyataannya tahun lalu.
Pada 5 Disember 2022, Hadi pernah berkata bahawa PN tiada perancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadi yang juga bekas Duta Khas ke Timur Tengah turut mendakwa PN akan menunggu tempoh lima tahun sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk menukar kepimpinan kerajaan.
BACA JUGAÂ Pemuda AMANAH dan AMK lapor polis isu Hadi
Â