Mangsa banjir tiga negeri menurun kepada 47,782, Johor kekal teratas – NADMA

Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun kepada 47,782 orang melibatkan 13,531 keluarga di sembilan daerah.

Kesemua mangsa ditempatkan di 206 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan pukul 6 pagi ini berkata Johor masih kekal negeri yang paling terjejas dengan 45,005 mangsa melibatkan 12,729 keluarga di tujuh daerah.

Batu Pahat mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 35,056 orang dari 9,818 keluarga diikuti Muar (4,094) dari 1,225 keluarga dan Tangkak (2,436) dari 766 keluarga.

Kluang pula jumlah mangsa menurun kepada 477 mangsa dari 133 keluarga yang ditempatkan di empat PPS>

Segamat melibatkan 1,444 mangsa dari 367 keluarga, Mersing (791) dari 220 keluarga dan Kota Tinggi (707) dari 200 keluarga.

Kata laporan itu, seramai 529 mangsa di Jasin, Melaka masih ditempatkan di lima PPS.

Sementara itu, di  Rompin, Pahang seramai 2,248 mangsa dari 659 keluarga ditempatkan di 15 PPS.

Anggota penyelamat mengeluarkan penduduk yang terperangkap banjir untuk dihantar ke PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Chantek, Parit Sulong pada 8 Mac. Foto APM Johor

BACA JUGA: Moratorium enam bulan untuk mangsa banjir Johor