Parlimen: Isu tambang penerbangan mahal, IPR antara perkara tumpuan

Isu masalah tambang penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak merupakan antara isu yang bakal dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan aturan mesyuarat, soalan nombor satu itu bakal dikemukakan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.

Beliau meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah rancangan jangka panjang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mengatasi harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi antara Semenanjung dan Sabah terutamanya semasa musim perayaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dapat membantu isi rumah B40 dan miskin tegar menjana pendapatan.

Selain itu, beliau juga mahu penjelasan bagaimana Kementerian Ekonomi dapat memastikan 100,000 miskin tegar dapat terlibat dalam IPR ini.

Berapa unjuran pendapatan yang mampu dijana oleh para peserta mengikut tiga inisiatif di bawah IPR iaitu INTAN, INSAN dan IKHSAN, soal beliau.

Sementara itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mahu Kementerian Luar menjelaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Myanmar sekarang yang mana sebuah kerajaan yang sah dan dipilih melalui proses undi demokrasi telah diguling oleh junta tentera melalui langkah kudeta pada Februari 2021.

Is pencen turut bakal menjadi tumpuan melalui soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang mengemukakan soalan sama ada kerajaan bercadang melaksanakan skim pencen
warga emas untuk rakyat berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan atau pencen PERKESO.

Dalam pada itu, dari blok pembangkang, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) membangkitkan mengenai masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar terutamanya sekolah kebangsaan.

“Adakah kementerian bercadang untuk menukarkan bahan sistem pendidikan secara fizikal kepada digital yang dapat menjimatkan perbelanjaan dalam kos buku teks dan lain-lain,” soalnya kepada Menteri Pendidikan.

BACA JUGA: Peruntukan untuk pembangkang tidak dinafikan, rundinglah dengan kerajaan

Â