Pelbagai inisiatif kerajaan demi pekebun kecil

Pelbagai insiatif bagi membantu pekebun-pekebun kecil komoditi sawit, getah, lada dan koko khususnya pekebun kecil persendirian disediakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Timbalan menterinya Siti Aminah Aching berkata pekebun kecil kelapa sawit boleh mendapatkan pembiayaan bagi pembelian import pertanian seperti baja sebatian, racun rumpai dan serangga perosak melalui program pembiayaan mudah import pertanian pekebun kecil sawit.

Bantuan turut diberikan kepada pekebun kecil dalam aktiviti integrasi seperti skim bantuan intergasi tanaman dengan sawit dan skim bantuan intergasi ternakan dengan sawit.

Pemberian insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bertujuan mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan pekebun kecil menoreh.

“Kementerian turut melaksanakan pemberian Insentif Pengeluaran Latex (IPL) sebagai usaha memberi peluang pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan memberi galakan untuk beralih kepada menghasilkan susu getah latex berbanding getah sekerap.
“Selain itu projek transformasi perusahaan getah negara yang dilaksanakan kerajaan diharap dapat membantu aktiviti penjualan getah krip dalam konteks koperasi.
“Projek ini dijangka akan menambah nilai getah yang seterusnya akan mmberi pulangan lebih baik kepada pekebun kecil,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Siti Aminah berkata demikian ketika menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (Lubok Antu-PBB) yang bertanya tindakan kementerian dalam membantu pekebun-pekebun kecil komoditi sawit, getah, lada dan koko yang terkesan akibat ketidakstabilan harga komoditi dunia serta peningkatan kos baja dan racun.
Sementara itu di bawah Program Pembangunan Huluan Industri Lada (PHIL), Siti Aminah berkata kementerian telah menyalurkan bantuan bekalan import pertanian seperti baja melalui Skim Tanaman Lada Baru (LTAB) dan bantuan import tambahan iaitu baja dan racun pertanian melalui Skim Tanaman Lada Matang untuk mmbantu pekebun kecil di sektor lada.
Sebagai usaha mmbantu pekebun kecil koko pula, kementerian telah melaksanakan program rangsangan pengeluaran hasil koko.
Program ini katanya bertujuan membangunkan kawasan seluas 1000 hektar sebagai kawasan tanaman baru koko menggunakan sistem tanaman integrasi bersama tanaman ekonomi lain.
“Kementerian juga membantu urusan pembelian biji koko, biji koko kering, pekebun-pekebun kecil koko melalui koperasi kluster koko dengan harga lebih tinggi daripada harga semasa.
“Kementerian harap pekebun kecil dapat manfaatkan pelbagai inisiatif diperkenalkan dan dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dalam menghadapi ketidaktentuan harga agrikomoditi di pasaran,” katanya lagi.