Projek Jana Wibawa bantu Bumiputera diteruskan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneruskan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) untuk membantu golongan Bumiputera.

Menurut Menteri Kewangan berkenaan, projek itu akan melalui proses runding semula berikutan terdapat banyak perlanggaran sebelum ini termasuklah ‘membumiputerakan’ syarikat milik Cina.

“Ada syarikat Cina ‘dibumiputerakan’ sebab kebetulan kawan baik di Johor… itupun nak pertahankan… ini projek Bumiputera tetapi bagi pada Cina… peraturan apa?

“Sedangkan ini projek dikhususkan untuk Bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar Ibrahim

Dalam masa sama, Anwar menegaskan, terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sama ada wujudnya kesalahan Jana Wibawa versi 2.0 di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Dikaitkan Jana Wibawa 1.0 itu Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Ismail Sabri)… saya tidak ambil kisah itu terpulang kepada SPRM nak semak.

“Saya tidak kata harus semak, kalau rasa ada bukti wujudnya Jana Wibawa 2.0 di bawah Bera, siasat… saya tidak suruh,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran Mahiaddin dengan tujuan mempercepat penyampaian projek kerajaan bagi membantu merangsang pemulihan ekonomi Malaysia selepas Covid-19.

Selain itu, program tersebut bagi membantu meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing.

BACA JUGA Jangan guna temberang, PM Anwar tempelak pembangkang baca buku belanjawan