SPRM perlu diberi kebebasan siasat, dakwa siapa saja pemimpin politik – NGO
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat dan membuat pendakwaan terhadap pemimpin politik tanpa memilih ‘bulu’, kata Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW).
Jais Abdul Karim berkata sesiapa sahaja yang disiasat dan dituduh pasti ada sebab dan alasan kukuh kerana pihak SPRM telah menjalankan siasatan secara menyeluruh, terperinci dan profesional.
“Pujian harus diberikan kepada SPRM kerana menjalankan amanah dan tugas dengan berani tanpa ‘memilih bulu’ sama ada individu tersebut mempunyai pangkat atau kedudukan tinggi dalam parti tertentu ataupun masyarakat.
“Siasatan dan pendakwaan ke atas pemimpin parti politik perlu diberikan perhatian serius dan dijadikan sebagai pengajaran kepada pemimpin politik yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jais berkata jenayah rasuah dan perbuatan salah guna kuasa sering berlaku dalam kalangan ahli politik dan tidak mengenal parti.
Katanya hakikatnya, budaya politik Malaysia sudah terlalu tercemar dengan pelbagai masalah moral, integriti, rasuah, salah guna kuasa dan nepotisme.
Dalam hal ini kata beliau pengiat politik dan rakyat harus bersedia untuk melakukan pemutihan ke arah budaya politik sihat yang bermoral, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab terhadap amanah tugasan.
Tambahnya siu penyiasatan dan pendakwaan ‘terpilih’ tidak timbul jika seseorang itu benar-benar bersih dan tidak terbabit dengan gejala rasuah atau salah guna kuasa.
“Mahkamah membuat keputusan setelah mendengar hujah-hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dengan bukti-bukti yang dikumpulkan oleh pihak SPRM.
“Perbuatan rasuah tetap salah dan semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah jika seseorang itu terbukti bersalah dan harus dijatuhkan hukuman,” katanya
Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.
“Esok beliau dijangka akan didakwa. Bukan hari ini,” kata beliau, lapor Berita Harian.
SPRM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat mengenai perkara tersebut.
Bekas Perdana Menteri kelapan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi untuk disoal siasat berkaitan program Jana Wibawa yang dilaksanakan ketika dalam pentadbirannya.
BACA JUGA: Anwar: Siasatan SPRM ke atas Mahiaddin tidak bermotif politik