Tiada MP Bersatu di Dewan Rakyat, dipercayai beri sokongan pada Mahiaddin

Persidangan Dewan Rakyat hari ini berlangsung tanpa kehadiran Ahli Parlimen Bersatu.

Kesemua 29 wakil rakyat parti itu dan beberapa Ahli Parlimen Pas tidak kelihatan di Dewan Rakyat petang ini termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kesemua mereka difahamkan memberi sokongan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ia disahkan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut memaklumkan tidak akan hadir pada persidangan sebelah petang.

Selain itu, dua Ahli Parlimen Pas dipercayai hadir memberi sokongan kepada Mahiaddin iaitu Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Beberapa Ahli Parlimen Pas yang kelihatan di Dewan setakat ini ialah Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Mahiaddin dipanggil memberi keterangan di SPRM dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Teresa Kok (PH-Seputeh) bangkit mencelah dengan bertanyakan ke mana ‘ustaz-ustaz’ pergi yang merujuk kepada Ahli Parlimen Pas.

“Ini ustaz tidak bertanggungjawab,” katanya yang membangkitkan jumlah kuorum tidak mencukupi 26 Ahli Parlimen.

BACA JUGA Mahiaddin akan didakwa esok