Ahli Parlimen Putrajaya masih Radzi Jidin
Datuk Dr Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen membantah kemenangan Naib Presiden Bersatu itu di kerusi terbabit.
Hakim Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan berhubung petisyen difailkan Naib Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.
Keputusan itu sekali gus membenarkan permohonan bantahan awal difailkan Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan terhadap petisyen tersebut.
Menurut Faizah, Ahmad Faisal gagal membuktikan wujud kegiatan rasuah melibatkan Radzi mengikut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Saya juga mendapati petisyen itu defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
“Dengan itu, petisyen berkenaan dibatalkan dan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar (Ahmad Faisal) kepada responden (Radzi),” lapor BH.
Turut hadir dalam prosiding kes menerusi aplikasi Zoom itu ialah peguam, Yusfarizal Yusuff dan Datuk Mohd Hafarizam Harun, masing-masing mewakili Radzi serta Ahmad Faisal.
Pada 26 Januari lalu, Ahmad Faisal yang juga pengundi di Parlimen sama memfailkan petisyen itu.
Dia antara lain mendakwa terdapat bayaran RM150 diberikan pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dakwanya, bayaran tersebut diserahkan petugas PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama, yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.
Terdapat juga beberapa pengundi lain dikatakan diberikan wang demi untuk mendapatkan undi bagi pihak responden.
BACA JUGA Lepas jawatan atau tidak, Mahiaddin serah pada majlis tertinggi