Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah

‘Abah’ di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan kesalahan pengubahan wang haram kesemuanya berjumlah RM427.5 juta.

Tan Sri Mahiaddin Yassin membuat pengakuan sedemikian selepas dibacakan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu minta untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan, Mahiaddin sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk partinya daripada tiga syarikat serta seorang individu.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Dia turut didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Kes berprofil tinggi itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahnad Terrirudin Mohd Salleh manakala pasukan pembelaan diketuai Datuk M Kumaraendran.

Mahiaddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua yang menurut jejak Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen yang sama.

Sebanyak RM2 juta jaminan ditetapkan oleh hakim dengan dua penjamin warganegara dan bukannya daripada ahli keluarga.

Hakim turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai untuk pertuduhan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Jaminan dan syarat sama juga dikenakan terhadap pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

BACA JUGA Mahiaddin turut jejak Najib diheret ke mahkamah pagi ini