Jangan guna semak dan imbang untuk tutup kes, Wan Saiful

Lee Chean Chung (Petaling Jaya-PH) menempelak Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor-PN) kerana menggunakan alasan semak dan imbang sebagai alasan dalam keadaan beliau (Wan Saiful), dan pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin berdepan dengan kes mahkamah manakala presiden Pas Tan Sri Hadi Awang sedang disiasat kerana kenyataan tebuk atap.

“Pelbagai usaha seperti memperkasakan Dewan Rakyat, mengharamkan perolehan tanpa tender, rancangan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Pendanaan Politik bertujuan untuk memberikan semak dan imbang kepada kerajaan.

Jangan sesekali guna nama semak dan imbang untuk menutup kes yang bakal dibicara di mahkamah semasa mereka menjadi kerajaan dulu,” kata Lee dalam ciapannya di Twitter.

Semalam Wan Saiful mendakwa bahawa kes mahkamah terhadap pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin, dirinya dan siasatan ke atas presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk melumpuhkan proses semak dan imbang dalam negara.

Wan Saiful turut menyifatkan Anwar sebagai pendendam tua yang opportunis dan kuku besi.

Lee menyatakan tuduhan Wan Saiful itu tidak berasas, bersifat peribadi dan hanya untuk meraih simpati.

Lee dari PKR turut menyifatkan Perikatan Nasional sebagai gabungan pembangkang yang gagal memainkan peranan mereka dalam proses semak dan imbang.

“Saya juga dapati bahawa PN tidak berminat untuk menjadi pembangkang yang membina. Kehadiran mereka juga kurang memberangsangkan walaupun Perdana Menteri sendiri berada dalam parlimen untuk menjawab soalan ahli-ahli dewan.

“Mereka gagal membentangkan belanjawan alternatif untuk menunjukkan PN adalah blok yang mampu menawarkan alternatif dasar.

Kenyataan ini merujuk kepada pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika penggulungan debat Belanjawan 2023 semalam, kebanyakan ahli parlimen PN tidak hadir kerana bersolidariti dengan Mahiaddin yang disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

BACA JUGA: Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah