Jarang orang tanpa kuasa boleh buat rasuah – Kadir Jasin

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berpendapat individu yang terlibat dalam jenayah rasuah bukannya sebarangan orang.

Mengulas enam pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, rasuah dilakukan oleh individu yang mempunyai kuasa.

“Orang yang buat rasuah ini bukan orang bodoh yang buta undang-undang. Jarang orang bodoh dan orang tanpa kuasa boleh lakukan rasuah.

“Habis sangat hulur RM5 duit kopi kepada mata-mata yang tangkap dia langgar lampu merah.

“Yang buat rasuah ini orang yang ada kuasa. Bagi sogokan, dia bagi projek, kontrak dan konsesi.

“Mereka tahu rasuah salah. Tapi mereka ambil juga risiko sebab mereka sangka mereka tongkat langit,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Dalam masa sama, beliau yang keluar Bersatu pada 6 Ogos 2020 turut mengingatkan bahawa apabila sesuatu pendakwaan mahkamah dilakukan bererti kes tersebut cukup kuat.

Sebaliknya, ulas beliau, naratif kononnya pendakwaan bermotifkan politik sekadar untuk penyokong parti sahaja.

“Peguam Negara hanya akan bersetuju untuk mendakwa jika pada pandangannya kemungkinan bersalah adalah cukup tinggi.

“Segala cakap berkenaan motif politik, konspirasi, pendakwaan terpilih dan sebagainya adalah alasan semata-mata.

“Untuk hidangan kepada penyokong. Semua kata dia tak bersalah. Kita pun tak kata dia bersalah sampailah dijatuhkan hukuman.

“Di depan hakim, yang dibicarakan adalah bukti bukan motif politik, konspirasi atau pendakwaan terpilih.

“Bagi saya, apa salahnya kita berpakat, malah berkonspirasi untuk membanteras keburukan dan membuat kebaikan?” tegas Kadir lagi.

Pagi tadi, Mahiaddin, 76, berdepan enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan kesalahan pengubahan wang haram dengan kesemuanya berjumlah RM427.5 juta.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas dibacakan empat pertuduhan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

 

BACA JUGA Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah