Kakak Asyraf Wajdi dilantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) Dr Farah Nini Dusuki sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan ahli akademik itu berkuatkuasa 8 Mac lalu.

Farah Nini yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak pada masa ini berkhidmat di Fakulti Undang-Undang UM sejak Disember 2007.

Menurut Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, pelantikan Farah Nini diperkenan oleh Agong mengikut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

“Kerajaan berharap dengan lantikan Farah Nini sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak, pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian yang lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita sentiasa terpelihara,” katanya.

Untuk rekod, Farah Nini merupakan kakak sulung kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang pernah bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Asyraf dalam hantaran di Facebook hari ini turut mengucapkan tahniah kepada Farah yang dianggapnya sebagai amat dikenali sebagai pejuang tegar dan pakar undang-undang kanak-kakak di peringkat antarabangsa.

Asyraf dan kakaknya, Farah dalam perkongsian gambar di media sosial pada tahun 2014.

Farah pernah berkhidmat di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 15 tahun.

Beliau pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Cardiff di Wales, United Kingdom pada 2002 dengan tesis yang mengkaji permasalahan sosioperundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Kajiannya merangkumi perundangan mengenai pengadilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan remaja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

Sebelum ini, Azalina dilapor berkata, kewujudan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan bebas dalam membela nasib golongan itu di negara ini.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut sebagai satu badan pemerhati penting dalam menangani isu berkaitan kebajikan kanak-kanak seperti keselamatan umum, pendidikan dan kesihatan.

 

BACA JUGA Insurans percuma manfaatkan sejuta pelajar di Selangor