Mahiaddin turut jejak Najib diheret ke mahkamah pagi ini

Tan Sri Mahiaddin Yassin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua yang menurut jejak Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah.

Mahiaddin pagi ini bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kes berprofil tinggi itu menyaksikan Mahiaddin, 75, akan hadir di Mahkamah Kuala Lumpur yang difahamkan berlangsung jam 9 pagi ini.

Malam tadi, Presiden Bersatu berkenaan keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih lapan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat suruhanjaya itu.

Siasatan tersebut berkaitan pendakwaan berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam sidang medianya, Ahli Parlimen Pagoh tersebut mengulangi bahawa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dan menegaskan tuduhan terhadapnya adalah dakwaan terpilih.

Malah, Mahiaddin mengaitkan bahawa pedakwaan ke atas dirinya adalah satu tindakan politik berniat jahat yang bertujuan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.
dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Katanya, semua perkara sudah dijelaskan kepada SPRM dan tiada asas untuk mendakwanya di bawah mana-mana undang-undang.

Namun, ujarnya, arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara telah ada supaya beliau didakwa.

BACA JUGA Mahiaddin sah ditahan SPRM