Pendakwaan bukan secara terpilih, bermotif politik dan penganiayaan

Jabatan Peguam Negara telah menafikan tohmahan bahawa pendakwaan yang dijalankannya adalah terpilih, bermotif politik dan merupakan penganiayaan.

Tohmahan tersebut timbul ekoran dari pendakwaan ke atas pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin yang berdepan dengan enam tuduhan. Empat tuduhan melibatkan kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta manakala baki dua tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Jabatan tersebut menegaskan pertuduhan dibuat berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, bukan berdasarkan desakan pihak tertentu.

“Keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya, selaras dengan bidang kuasa Peguam Negaraa yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.

Perkara 145(3) memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicaranya dalam menentukan kes untuk didakwa.

Jabatan Peguam Negara turut menegaskan mana – mana individu yang melakukan kesalahan akan didakwa di mahkamah sekiranya ada keterangan dan bukti kukuh.

BACA JUGA: Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah