SPRM tegaskan siasatan Jana Wibawa tidak libat campur tangan mana-mana pihak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan proses siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak.

Sebaliknya suruhanjaya itu menjelaskan siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program itu merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri pihaknya.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campurtangan mana-mana pihak.

“Justeru itu, tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej suruhanjaya ini,” kata SPRM dalam kenyataan pada Jumaat.

Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mempercepat pelaksanaan projek untuk merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan keupayaan kontraktor bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.

Muhyiddin, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot hitam tanpa tali leher membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.

Susulan kes tersebut, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

BACA JUGA: Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah