Tauliah penuhi maqasid syariah, bukan halang ajar agama – Sultan Selangor

Sultan Selangor menegaskan keperluan tauliah mengajar bukanlah untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama sebaliknya ia sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara, maka tauliah diperlukan.

Baginda bertitah demikian ketika menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertajuk “Tauliah Mengajar: Suatu Keperluan yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri ini hari ini.

“Memetik antara isi penting khutbah berkenaan, baginda sering memberi peringatan, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan Tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor,” kata Selangor Royal Office dalam kenyataan pada Jumaat.

Baginda berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Mac 2023. Foto Selangor Royal Office

Sultan Sharafuddin juga senada dengan khatib yang menyeru agar semua pemegang tauliah MAIS hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.

“Mereka juga hendaklah menggunakan tauliah mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

“Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan, yang akhirnya akan menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya.

“Baginda turut berpesan kepada pemegang tauliah supaya tidak mencampur aduk isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam.

“Menyelitkan apa-apa perkara yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana kerajaan atau mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di negara ini,” kata kenyataan itu.

Sebagai Ketua Agama Islam negeri seperti termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, baginda mempunyai kuasa untuk menitahkan agar tauliah terhadap mana-mana pihak ditarik balik atas sebab-sebab tertentu demi memelihara kesucian agama Islam dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam, kata kenyataan itu.

Selangor Royal Office berkata undang-undang telah menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

Justeru itu, baginda turut mengingatkan kepada sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, mohonlah tauliah mengajar.

“Pemohon akan melalui beberapa proses tapisan iaitu ujian penilaian fardu ain dan ujian nilai. Sekiranya lulus, pemohon akan dipanggil temu duga, seterusnya diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS,” ujarnya.

Kata kenyataan itu, mana-mana individu yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

“Pihak JAIS kerap menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah. Malah penceramah yang tidak mempunyai tauliah pun tahu tentang keperluan mendapatkan tauliah di negeri Selangor ini masih terus mencuba untuk memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah.

“Dan apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah, pihak berkuasa agama dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau,” katanya.

BACA JUGA: Elak masjid dicemari elemen rosak akidah dan perpaduan, titah Sultan Selangor