Tol MLFF menjelang 2025

Sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) akan diperkenalkan menjelang tahun 2025, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

“Pelaksanaan MLFF kelak akan membolehkan pengguna lebuhraya membayar tol menggunakan pelbagai platform pembayaran (Open Payment),” kata Alexander.

Beliau turut menolak andaian penghapusan sistem tol.

“Selaras dengan dasar untuk mempertingkatkan pembangunan dan menjana ekonomi negara, industri lebuh raya bertol perlu dikekalkan supaya perkhidmatan dan kemudahan lebuh raya yang selesa dapat diberikan kepada rakyat dan menjimatkan perbelanjaan kewangan kerajaan.

Sebaliknya jika pemansuhan kutipan tol dilaksanakan, kerajaan terpaksa menanggung bayaran pampasan yang tinggi kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkaitan serta kos operasi dan penyenggaraan jika lebuh raya diambil alih.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (Kepong-PH).

Beliau turut menjelaskan kaedah dan prinsip yang diguna pakai oleh kementerian dalam isu pembinaan lebuh raya bertol.

“Lebuh raya dibina menggunakan kaedah bina-kendali-pindah dan berdasarkan prinsip “User Pay”. Oleh yang demikian, kos penggunaan lebuh raya perlu ditanggung oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya tersebut.”

“Walau bagaimanapun, kerajaan menggalakkan syarikat konsesi untuk mengemukakan cadangan penstrukturan lebuh raya bagi mengurangkan impak bayaran tol kepada pengguna.”