Kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU ditentukan petang ini – Armada

Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat petang Sabtu.

Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata mesyuarat tersebut dijangka berlangsung pada pukul 6.30 petang di Taman Melewar, Gombak.

“Buat masa ini kita belum lagi bincang dan buat keputusan berhubungan kedudukan Tan Sri Muhyiddin.

“Kita akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebaik sahaja selesai mesyuarat Armada.

“Mungkin selepas itu (media) boleh tanya (ketetapan) sebaik selesi mesyuarat,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.

Semalam Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden BERSATU telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagaimanapun, Wan Fayhsal dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Armada menegaskan sayap itu kekal dengan pendirian bahawa Muhyiddin tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.

Beliau memberikan alasan bahawa enam pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu bersifat pendakwaan terpilih.

“Kita mahu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal dengan jawatan sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi PN sebab (pertuduhan terhadapnya) adalah pendakwaan terpilih,” katanya.

BACA JUGA: Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah