Laksana segera proses reformasi institusi, elak salah guna kuasa – #RasuahBusters

Kumpulan tokoh di bawah Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah mahu kerajaan melaksanakan segera proses reformasi institusi bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

Kumpulan yang dikenali sebagai #RasuahBusters berkata reformasi penting yang perlu dilaksanakan segera termasuklah pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwaraya, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan penggubalan Akta Pembiayaan Politik.

Pindaan juga perlu dilakukan terhadap Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan Akta SPRM 2009 serta implementasi penuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP), katanya.

“#RasuahBusters selaku Sekretariat KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini bersama kumpulan masyarakat sivil dan profesional menyambut baik usaha kerajaan yang menunjukkan komitmen pendedahan dan pendakwaan berkaitan perlakuan rasuah tanpa takut dan pilih kasih.

“Perlaksanaan komitmen tersebut hanya boleh menjamin keadilan dan ketelusan dengan adanya reformasi institusi yang harus dilaksanakan segera demi mengelakkan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu berkata reformasi institusi berkenaan dilihat sebagai kritikal untuk memastikan keyakinan rakyat agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai negara dan mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Dalam menyokong penuh iltizam kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa, semua pihak juga harus memastikan integriti dan kebebasan badan kehakiman terjamin, tidak diganggu atau diserang,” tegas kenyataan itu.

Tambahnya bagi memastikan kelangsungan semak imbang dan input kajian diperincikan dalam melaksanakan reformasi istitusi secara dua hala antara kumpulan masyarakat sivil, pakar dan profesional bersama ahli Dewan Rakyat, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) wajar diluluskan oleh Parlimen.

“Memerangi rasuah bukan tugas ekslusif pihak kerajaan, maka kesediaan semua pihak untuk terlibat harus diambil kira dalam memastikan reformasi institusi yang dijanjikan dapat direalisasikan segera dan efisien,” katanya.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, Prof Dr Edmund Terence Gomez, Shah Hakim Zain, Maha Balakrishnan, Anas Zubedy, Christopher Leong, Nurhayati Nordin (#RasuahBusters), Dr Tricia Yeoh (Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi-IDEAs), Dr Muhammad Mohan (Transparency International Malaysia), Cynthia Gabriel (Centre to Combat Corruption and Cronyism C4), Badlishah Sham Baharin (IKRAM) dan Tharma Pillai (UNDI 18).

BACA JUGA: Jarang orang tanpa kuasa boleh buat rasuah – Kadir Jasin