Orkid hibrid baharu Aranda PMX-Anwar dinamakan sempena Perdana Menteri

Sejenis spesies orkid hibrid baharu yang dinamakan Aranda PMX-Anwar diumumkan pada majlis perasmian Hari Landskap Negara 2023 (HLN2023) di Taman DR Seenivasagam, Ipoh hari ini sempena nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyerahkan sejambak orkid berkenaan kepada Anwar selepas Perdana Menteri menyempurnakan majlis perasmian itu.

Ia dinamakan sedemikian bagi meraikan smbolik warna kuning-jingga spesies berkenaan yang menggambarkan kegembiraan, optimistik dan semangat seperti mana karakter Perdana Menteri, lapor Bernama.

Aranda PMX-Anwar ialah kacukan induk betina, Aranda Tecnokraft, hibrid orkid integenerik daripada kacukan Aranda Khaw Phaik Suan dan Vanda Memoria Choo Lalkeun.

Induk jantan, Aranda Sayan juga hibrid orkid integenerik berwarna kuning kacukan di antara Vanda Medasand dan orkid liar, Arachnis hookeriana.

Kacukan baharu itu berbunga kali pertama pada 5 Mac 2013 dan hibrid ini telah didaftarkan dengan Penguatkuasa Pendaftaran Antarabangsa Hibrid Orkid di England.

Ciri-ciri bunga bewarna kuning-jingga terang mewarisi sifat induk jantan dengan kelopak tebal, berbentuk hampir bulat dan tersusun cantik dengan bibir bunga bewarna jingga kemerahan.

Bibir bunga yang agak panjang dan warna jingga kemerahan menyerlahkan keseluruhan jambangan bunga di pokok.

Bunga ini bersaiz sederhana berukuran antara 3.0 hingga 4.5 sentimeter dan susunan jambak bunga berbentuk spiral dengan tangkai bunga berukuran sederhana antara 28 hingga 30 sentimeter panjang.

Satu tangkai mengeluarkan lapan hingga 12 kuntum bunga yang tahan lebih lima minggu di pokok.

BACA JUGA: Kerajaan Perpaduan ambil pendekatan tawaduk, rendah diri, kata Nga