Pendapat| Undang-undang dan istilah Latin

Saya tidak pasti bidang atau disiplin ilmu yang lain. Apa yang saya tahu dalam bidang atau disiplin undang-undang, ia terlalu kaya dengan pelbagai istilah Latin.

Mereka yang terlibat dalam bidang undang-undang khususnya para peguam litigasi lazimnya bibir agak basah melafaz istilah Latin seperti mens rea, Nemo judex in causa sua , ejusdem generis, nemo dat quod habet, ex turpi causa non oritur actio , ergo omnes dan banyak lagi.

Perlukah atau wajibkah anda kena tahu istilah latin jika anda ingin menjadi peguam misalnya?

Sebenarnya, tak wajib tetapi jika anda tahu istilah latin ianya mungkin banyak membantu.

Sedikit pengalaman peribadi. Ada dua kes yang saya pernah kendalikan di mana saya telah guna istilah latin semasa berhujah.

Dalam satu kes jenayah yang saya kendalikan, ketika pendakwa berhujah semasa penggulungan, beliau berhujah ” tuan hakim, saya berhujah peguambela – Encik Hanipa- hanya memanggil seorang saksi sahaja apabila “ defence was called …

Semasa giliran menjawab hujah pendakwa tersebut, saya berhujah “ _testes ponderantur, non numerantur!”_ ( Witnesses are weighed, not numbered ).

Dalam satu kes lain (kes rayuan jenayah/ criminal appeal), ketika berhujah saya kata “Yang Arif saya hujahkan bahawa ” the learned magistrate erred in law by failing to interpret the relevant section _ejusdem generis”…_”

Hakim lalu tanya pada pihak DPP (timbalan pendakwaraya) ” this court tends to agree with Mr Hanipa on this point, dont you think the principle of _ejusdem generis_ should have been applied by the learned trial judge…”

Pihak DPP lalu minta kes itu ditangguh sebentar. Semasa penangguhan, DPP tanya saya ” Encik Hanipa , benda apa tu ejusdem generis ?”.

Kami kemudian ketawa secara berjemaah.

_______________________________________________________________________________________________________________________________________

Mohamed Hanipa Maidin merupakan seorang peguam dan bekas Ahli Parlimen Sepang

 

Â