Peranan wanita mampu jadi pemangkin bentuk Malaysia Madani

Gagasan Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjadi pemangkin perjalanan masa hadapan negara melalui peranan golongan wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata kementerian akan memainkan peranan penting bagi memastikan golongan wanita mampu membawa aspirasi masyarakat Madani.

“Bagi menjayakan Malaysia Madani sudah semestinya memerlukan sumbangan daripada wanita.

“Kerajaan Perpaduan menggagas madani dan ia tidak mungkin muncul serta terbina tanpa kekuatan keluarga dan khususnya peranan wanita,” kata ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri Selangor 2023 di Sepang pada Sabtu.

Aiman Athirah berkata, Malaysia Madani akan dapat dijayakan oleh wanita walaupun permulaannya hanya sebagai seorang suri rumah tangga.

Dalam hal ini, beliau berkata kementerian akan melihat keperluan setempat golongan wanita mengikut suasana negara masa kini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang menjelaskan senario politik negara juga boleh diubah oleh golongan wanita agar menjadi bertambah baik.

“Kalau kita (wanita) hendak lihat politik negara diubah, perkara pertama yang perlu diubah adalah pemain-pemain dalam negara  yang nantinya akan menentukan undi dan seterusnya membentuk kerajaan.

“Wanita tidak lagi boleh bergantung kepada cara politik lama iaitu politik adu domba dan fitnah.

“Oleh itu, wanita mesti fokus kepada perkara yang selalu disebut sebagai politik khidmat, nilai dan mendidik,” ujarnya.

Tambah beliau akhlak mulia turut harus dijaga dan dipelihara oleh para wanita supaya menjadi hiasan yang sangat indah dalam kehidupan.

Turut hadir Exco Kesihatan Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud, Presiden Kuala Lumpur and Selangor Coalition of Women Organization (KLSCWO) Anita Aqeela Hiong dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI Norita Mohd Sidek.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan KLSCWO di di Hotel Sama-sama, KLIA, Sepang.

BACA JUGA: Selangor beri ruang peranan wanita berkembang maju