PN mungkin desak pilihan raya negeri awal susulan kes mahkamah Muhyiddin
Pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi pemimpin partinya melibatkan kes Jana Wibawa berkemungkinan mendorong Perikatan Nasional (PN) membuat desakan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.
Ini berikutan kes mahkamah melibatkan Predisen BERSATU itu dilihat akan menjejaskan prestasi gabungan politik BERSATU, PAS dan Gerakan itu untuk meneruskan momentum yang mereka capai ketika Pilihan Raya Umum ke-15.
Mereka dilihat mahu menggunakan gelombang “Abah” yang merujuk kepada Muhyiddin bagi menarik sokongan simpati orang ramai untuk diterjemahkan dalam peti undi ketika PRN.
Perkara ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi yang menyatakan perwakilan Persidangan Agung Tahunan BERSATU dijangka mendesak agar PRN di enam negeri diawal.
Beliau berkata meskipun perkara itu tidak dimasukkan dalam senarai usul persidangan, pihaknya percaya ia akan disentuh oleh ramai perwakilan sepanjang tiga hari perhimpunan agung tersebut bermula semalam.
“Perkara itu terpulang kepada perwakilan, dalam BERSATU kita tidak menentukan apa yang hendak dikemukakan, perwakilan bebas untuk menyatakan apa yang mereka mahu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Agung Srikandi di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.
Ketika ini PN memainkan naratif bahawa pendakwaan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi PN merupakan pendakwaan terpilih untuk mengikis pengaruh parti tersebut menjelang PRN.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan proses siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak.
Sebaliknya suruhanjaya itu menjelaskan siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program itu merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri pihaknya.
Perkara sama turut ditegaskan Jabatan Peguam Negara.
PRN akan dilaksanakan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Sebelum ini Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri tersebut bersepakat untuk mengadakan PRN menjelang Jun depan.
Ketika ini PAS yang merupakan anggota Perikatan Nasional (PN) menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah PH.
Dalam PRU-15, PAS berjaya menguasai Perlis manakala PH dan BN berkongsi kuasa di Perak dan Pahang. Johor dan Melaka yang melaksanakan PRN lebih awal dikuasai BN yang kini sekutu kerajaan perpaduan.
Berdasarkan keputusan PRU-15, Kelantan, Terengganu dan Kedah dilihat masih dikuasi PN/PAS.
BACA JUGA: PRN Selangor: PH dan BN dicadang guna satu logo