Selangor beri ruang peranan wanita berkembang maju
Selangor sentiasa memberikan ruang kepada golongan wanita untuk terus diberikan sokongan sewajarnya agar peranan mereka sentiasa berkembang maju.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kerajaan negeri akan memberikan fokus untuk membentuk manusiawi yang lebih pintar dan menyayangi.
“Wanita Selangor mahukan negeri (Selangor) bukan sahaja maju dari sudut material tetapi juga membangunkan kualiti kehidupan.
“Peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial secara khusus akan mengangkat wanita, keluarga dan masyarakat seperti kumpulan sasar seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sebagai bidang tumpuan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2023 di Hotel Sama-sama, KLIA, Sepang pada Sabtu.
Sambutan Hari Wanita Sedunia 2023Â bertemakan ‘Kasih Wanita’.
Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, di peringkat negeri Selangor, golongan wanita tidak terkecuali untuk mempunyai dasar wanita sebagai satu dokumen pemandu kepada setiap perancangan program inisiatif berkaitan.
Justeru itu, katanya, setelah lima tahun pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri, satu kajian dan penilaian telah dijalankan bagi mengukur prestasinya.
“Secara keseluruhannya, kita (Selangor) sudah melaksanakan 56.25 peratus pelan tindakan dengan kerjasama agensi dan jabatan negeri.
“Sebanyak 8.75 peratus sedang dilaksanakan manakala 35 peratus lagi bakal dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata beberapa program baharu berkaitan wanita dan keluarga bakal dilaksanakan menerusi Belanjawan Selangor 2023 bagi memanfaatkan golongan berkenaan.
Kerajaan Negeri Selangor menawarkan 44 inisiatif menerusi pakej Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan lebih RM600 juta pada tahun ini.
BACA JUGA: Peranan wanita mampu jadi pemangkin bentuk Malaysia Madani