Belanjawan Madani 2023 berpotensi raih sokongan pengundi

Belanjawan 2023 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu akan mempengaruhi sentimen pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berpendapat, jika sesuatu perkara itu menyentuh ke arah kehidupan rakyat, sudah pasti ianya akan mempengaruhi sokongan masyarakat kepada kerajaan.

”Kita lihat banyak insentif diisytiharkan Perdana Menteri dalam bajet itu yang menyentuh golongan bawahan seperti B40. Pada masa sama, saya lihat golongan M40 juga mendapat insentif melalui potongan cukai.

”Sebab rakyat akan melihat kepada usaha kerajaan untuk mengatasi masalah mereka. Jadi saya berpendapat, belanjawan itu akan mempengaruhi sentimen pengundi dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya tentang potensi belanjawan untuk menarik sokongan terutamanya untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Untuk rekod, enam negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi penganalisis politik UTM Dr Azmi Hassan pula berpandangan, daripada sudut lain, belanjawan tersebut dilihat agak pragmatik.

”Kita lihat bajet itu agak pragmatik, mengambil kira tahap kedudukan ekonomi dan kemungkinan akan digunakan dalam kempen bahawa Kerajaan Perpaduan ini, adalah kerajaan pragmatik iaitu memikirkan masa depan dan bukannya masa terdekat.

”Jika betul kempen itu digunakan, maka ia boleh meyakinkan bahawa ini adalah kerajaan yang dikehendaki di peringkat persekutuan dan seterusnya di peringkat negeri,” ujar beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 selaku Menteri Kewangan

Ketika membentangkan Belanjawan Madani 2023 Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Beliau berkata selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

“Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” katanya yang menyifatkan belanjawan tersebut bersifat melakukan islah atau pembaharuan.

BACA JUGA: Belanjawan 2023 lulus dengan sokongan majoriti