Kerajaan Negeri Sembilan hargai warga perkhidmatan awam

Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menghargai urusan kerja warga perkhidmatan awam di negeri berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, situasi global yang amat tidak menentu, selain dipenuhi cabaran masa kini menuntut penjawat awam di negeri Adat Perpatih itu untuk melaksanakan amanah dengan cekap.

“Antara cabaran yang akan dihadapi oleh perkhidmatan awam termasuklah isu ancaman perubahan iklim, penduduk menua (ageing society), penularan wabak pandemik, perubahan demografi dan ketidakstabilan ekonomi global.

“Justeru, penjawat awam di negeri ini bukan sahaja perlu cemerlang, tetapi bersiap siaga dengan ketahanan diri secara pemikiran, sikap dan emosi bagi berhadapan dengan ketidaktentuan ini agar manfaat kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2022 bertempat di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Seremban, baru-baru ini.

Sebagai respons kepada keadaan itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, sejak tahun 2018 kerajaan negeri telah menyalurkan beberapa bentuk bantuan sebagai tanda menghargai golongan berkenaan.

Katanya, bantuan yang disalurkan itu adalah seperti Bantuan Khas Kewangan (BKK), pembinaan Rumah Penjawat Awam, skim pinjaman pembelian kenderaan dan komputer tanpa faedah.

”Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan van kaunter kutipan cukai bergerak bagi memudahkan masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar agar mereka dapat berhubung dengan penjawat awam,” ujar beliau lagi.

Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam adalah seperti berikut:

i. Belanjawan 2019 – sebulan gaji atau minimum dua ribu ringgit (RM2,000);

ii. Belanjawan 2020 – juga sebulan gaji atau minimum dua ribu ringgit (RM2,000);

iii. Belanjawan 2021 dan 2022 – setengah bulan gaji atau minimum seribu ringgit (RM1,000).

BACA JUGA: PH Negeri Sembilan beri bayangan bincang agihan kerusi dalam waktu terdekat