Pelapis muda perlu fahami perjuangan Palestin

Golongan pelapis dalam kalangan anak muda perlu diwujudkan agar mereka dapat memahami mengenai naratif perjuangan Palestin itu sendiri, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata, kisah mengenai negara di Timur Tengah itu harus jelas sebelum mengajak golongan masyarakat untuk turut sama menyokong perjuangan tersebut.

”Saya fikir perjuangan yang dibawa rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini agak baik dan membina pelapis dalam kalangan generasi muda ini juga merupakan satu inisiatif yang cukup baik.

”Ini kerana, daripada kefahaman itu perjuangan akan menjadi lebih telus dan ia akan dapat diterima oleh rakyat serta masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023 di Abedeen Club House, Cyberjaya hari ini.

Turut hadir dalam majlis anjuran Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) itu ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid@Cikgu Azmi, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia (MANAR) Datuk Seri Ahmad Awang dan Ahli Lembaga Liga Ahli-ahli Parlimen Al-Quds, Syed Ibrahim Syed Noh.

Adly berkata, isu Palestin bukan sahaja berkaitan dengan dunia Islam, tetapi ia bersangkut paut tentang keamanan sejagat.

Justeru itu, katanya masyarakat di dunia termasuk Malaysia harus memainkan peranan dalam semua forum bertujuan menyuara dan membina kesepaduan untuk memperjuangkan isu tersebut.