ADUN Labu serah pucuk pimpinan tentukan jadi calon PRN
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk menentukan sama ada beliau perlu bertanding atau memberi laluan kepada calon lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Saya baru penggal pertama, kecuali ada calon yang lebih baik, itu saya tidak tahulah.
“Bagaimanapun, setakat ini saya akan bekerja sehingga penggal saya habis iaitu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Apa pun, semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukan saya selepas ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Ismail mengulas demikian apabila ditanya adakah beliau akan terus bertanding mempertahankan kerusi DUN Labu atau memberi laluan kepada calon lain dalam PRN tidak lama lagi.
Terdahulu, Ismail yang juga Ketua Cabang Parlimen Rasah berkata, aspek prestasi calon juga antara faktor penting bagi menarik hati pengundi atas pagar.
Katanya, kemampuan seseorang calon perlu diambil berat kerana pengundi lebih tertarik dengan kekuatan calon berbanding faktor parti sahaja.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ismail menang dengan majoriti 882 undi, manakala Hasim Rusdi (Barisan Nasional) mendapat 5,830 undian.
Selain Negeri Sembilan, lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun depan.
BACA JUGA Kemudahan prasarana, prestasi baik kerajaan Negeri Sembilan mampu tawan hati pengundi