J-KOM jadi perhatian ahli Dewan Rakyat

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sejak tahun 2020 mempunyai peranan dan fungsi berbeza.

Atas sebab itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta kerajaan menjelaskan apakah tanggungjawab sebenar J-KOM supaya peruntukan yang diberikan kepada jabatan itu sememangnya efektif.

“Berkenaan penjenamaan semula J-KOM yang mahu dihidupkan. Kali ini saya yakin Malaysia Madani akan memberikan tumpuan atas apakah sebenarnya tanggungjawab dan peranan mereka.

“Saya minta perkara ini dijelaskan supaya peruntukan yang diberikan itu adalah efektif dan bermanfaat membangunkan negara Madani.

“Maka apakah rancangan, modul, kapasiti yang perlu dilakukan pegawai J-KOM ini,” katanya ketika sesi perbahasan perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Jalaludin Alias turut mengutarakan hal sama dengan meminta kerajaan menjelaskan apakah peranan sebenar J-KOM yang didakwanya tidak terlalu menonjol untuk memberikan penjelasan tentang dasar-dasar kerajaan.

Ahli Parlimen Barisan Nasional itu bertanya apakah pecahan kaum yang akan mengisi kekosongan jawatan di dalam J-KOM.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbang pengambilan semula pegawai-pegawai JASA yang ditamatkan kontrak sebelum ini untuk berkhidmat semula dalam penjawatanan J-KOM.

“Adakah J-KOM ini menjadi lidah rasmi kerajaan dan bagaimana nak memastikan ianya bukan lidah rasmi parti politik?

“Bagaimana pula dengan pecahan kaum yang akan mengisi pegawai J-KOM yang akan dilantik kerajaan. Adakah ia akan menumpu kepada sesuatu kaum sahaja?

“Saya ingin cadangkan supaya rakyat di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ini diambil untuk menyampaikan dasar dan perkara berkaitan kerajaan.

“Selain itu, lantik semula pegawai JASA sebelum ini dalam -JKOM,” katanya.

Datuk Ahmad Yahaya (Pokok Sena-PN) juga dalam sesi perbahasannya bertanya apakah wajah sebenar Ketua Pengarah J-KOM selepas didapati menghentam Pas baru-baru ini.

BACA JUGA Belanjawan Madani 2023 berpotensi raih sokongan pengundi