KR1M tidak akan diperkenal semula

Kedai Runcit 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran Najib Razak tidak akan diperkenal semula kerana faktor kos dan kegagalan projek KR1M, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh

Sebagai ganti katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta untuk program jualan rahmah di pasar raya kesemua 222 Parlimen bagi menawarkan barangan asas sehingga 30 peratus potongan harga.

“Setakat ini kementerian belum ada hasrat untuk mewujudkan kedai runcit mirip 1 Malaysia. Kenapa? Kerana dia ada banyak kos-kos terlibat dan kita kaji juga berkenaan kegagalan kedai runcit 1 Malaysia.

“Cara kita mengatasinya ialah dengan mengadakan jualan rahmah di pasar raya – pasar raya yang menawarkan sehingga 30 peratus potongan harga

“Bajet 2023, kerajaan telah bentang RM100 juta untuk program jualan rahmah di 222 Parlimen. Saya pohon ahli berhormat luluskan di peringkat jawatankuasa supaya dapat kita laksanakan di semua kawasan Parlimen,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (Miri-PH) yang bertanya adakah kerajaan bersedia mewujudkan program kedai runcit yang sama konsepnya seperti kedai 1 Malaysia dengan harga murah.

Menjawab soalan kedua Chiew mengenai program foodbank, Fuziah berkata kerajaan dalam usaha meneruskan lagi program tersebut dengan beberapa penambahbaikan.

BACA JUGA: Food Bank Wakaf Rahmah pertama dilancar di Uniten