KWSP institusi keadilan sosial warga emas

Bercakap mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah suatu yang sensitif bagi para pencarumnya. Saya mengelak diri daripada menulis mengenai KWSP kerana rimas dikecam oleh para netizen.

Ini kerana saya mempunyai pandangan yang amat berbeza daripada kebanyakan orang. Dalam hal-hal kewangan, kebanyakan orang menjadi emosional.

Apa yang saya perhatikan ialah anggapan bahawa simpanan pencarum dalam KWSP adalah hak mutlak mereka. Ia adalah milik peribadi dan kerajaan tidak patut menyekat pengeluarannya walaupun belum sampai masa.

Suka hatilah mereka hendak keluarkannya pada bila-bila masa kerana itu duit mereka. Seolah-olah wang dalam KWSP itu adalah seperti simpanan dalam bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa ketika keperluan.

Hakikatnya, KWSP bukan bank. Simpanan dalam KWSP adalah bersyarat. Apa yang dikatakan milik mereka pula hanya sebahagian. Sementara sebahagian adalah sumbangan majikan yang akan hanya menjadi milik pencarum apabila ia matang untuk dikeluarkan ketika usia 50 dan 55 tahun.

Majikan tidak akan bagi sumbangan itu jika tidak dipaksa oleh undang-undang dengan kesedaran bahawa ia adalah untuk perbelanjaan di hari tua dan bukan untuk menyelesaikan masalah kewangan masa ini. Begitu juga pekerja tidak akan mencarum jika tidak dipaksa oleh undang-undang.

Hanya selepas boleh dikeluarkan baru ia menjadi hak mutlak pencarum. Sebab itu, barulah pencarum wajib mrngeluarkan zakat.

KWSP adalah satu institusi kewangan dalam sistem ekonomi pasaran dan terbuka yang diamalkan oleh banyak negara. Ia merupakan institusi keadilan sosial bagi memastikan warga emas mendapat saraan apabila mereka sudah tidak bekerja.

Kalau kakitangan perkhidmatan awam, mereka mempunyai pencen. Tetapi untuk pekerja swasta mereka bergantung pada KWSP. Itu pun ada pekerja yang tidak mempunyai caruman yang mencukupi bagi menyara pada hari tua. Dalam masyarakat pula, terdapat ramai juga yang tiada simpanan kerana mereka bekerja sendiri.

Malaysia bukan negara kebajikan yang menyara semua warga negara apabila mereka sudah menjadi warga emas. Bukan saja tidak mampu untuk berbuat demikian tetapi negara ini mengamalkan sistem pasaran yang menuntut setiap orang berdikari serta berusaha untuk memilik simpanan bagi hari tua. Untuk itu, mereka mestilah pandai menguruskan wang sendiri.

Terapi realitinya, kebanyakan orang sukar untuk merancang kewangannya; terutamanya orang Melayu. Bukan saja tidak ada simpanan, malah untuk memikirkan untuk masa depan 50 tahun akan datang lagilah jauh.

Apa yang penting kepada mereka adalah hari ini. Kakau boleh semua wang dalam KWSP hendak dikeluarkan juga.

Ini kerana masyarakat kekurangan disiplin dalam soal kewangan. Pantang dapat banyak wang, terus dibelanjakan untuk banyak perkara.

Saya pernah melihat bagaimana seorang pekerja yang baru dapat wang VSS iaitu skim pemisahan sukarela membelanjakannya untuk anak-anak. Dari telefon hingga ke kereta ditambah lagi dengan aktiviti melancong. Dalam beberapa bulan saja dia sudah habis wangnya dan mencari kerja baru.

Semasa pandemik tempoh hari, ada laporan seseorang membuat bonggol di depan rumahnya hasil daripada pengeluaran KWSP sebagai bantuan. Ada pula orang kata, suka hatilah apa yang hendak mereka belanjakan kerana itu wang peribadi nereha.

Kebanyakan orang tidak dapat menilai keutamaan terhadap perbelanjaan wang. Sebab itu KWSP ditubuhkan untuk memaksa pekerja mencarum dengan majikan turut menyumbang.

Kalau tiada paksaan, tiada majikan yang mahu menambah kos syarikat dengan nenyumbang kepada kehidupan nasa depan para pekerja.

Syarikat perniagaan bukanlah badan kebajikan tetapi ia merupakan badan perniagaan yang tugasnya untuk mencari keuntungan bagi pemegang sahamnya. Inilah sustem pasaran yang diamalkan.

Tetapi kerajaan bertanggung jawab untuk mencari jalan supaya warga emas terjamin kehidupannya selepas persaraan. Untuk seseorang menyimpan sendiri bagi kegunaan masa tuanya tentu tidak boleh.

Maka timbullah idea penubuhan institusi seperti KWSP yang juga ditubuhkan di kebanyakan negara. Tugas KWSP adalah menguruskan wang pekerja untuk hari tua

Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Employees Provident Fund. Employee itu bermaksud seseorang yang digaji oleh majikan. Maknanya ada majikan. Ia lebih jelas daripada istilah “pekerja” yang dalam bahasa Inggeris ialah workers, tidak semestinya ada majikan.

Provident pula bermaksud membekalkan, iaitu memberi saraan semasa bersara nanti. Ia lebih tepat daripada perkataan “simpanan”. Ini kerana wang dalam KWSP bukan simpanan seperi biasa, yang boleh dikeluarkan bila-bila masa. Ia ada tujuan untuk hari tua.

Kemudian, wang itu bukan saja disimpan tetapi pihak KWSP dapat melaburkan supaya hasil dividen dapat meningkatkan lagi kuantiti wang dan menguatkan lagi keupayaan pencarum untuk hidup lebih selesa selepas bersara.

Sememangnya setiap orang tidak mempunyai kekuatan caruman yang sama. Siapa yang bergaji besar, akan membuat caruman lebih besar dan memperoleh wang lebih banyak ketika bersara.

Jumlah caruman yang besar itu menambah kekuatan dana KWSP untuk melabur dan memberi pulangan kepada semua pencarum.

Bagi pencarum yang memerlukan wang, KWSP bukan tempatnya untuk mendapatkan bantuan. Dalam masyarakat ada Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi lain. Dalam sistem ekonomi negara, bank adalah tempat untuk buat pinjaman.

Tetapi banyak orang marah. Mereka tidak mahu membuat pinjaman bagi keperluan mereka, mereka hendakkan duit sendiri yang ada dalam KWSP.

Mereka bercakap seperti ini kerana mereka beranggapan bahawa caruman mereka itu duit nereka sendiri sedangkan ia bukan wang mereka selagi ia belum matang dalam sistem KWSP ini. Selagi tidak berusia 50 dan 55 tahun, mereka tidak boleh mengeluarkannya.

Kalau dibenarkan keluar, sistem ini boleh jadi akan runtuh. KWSP menjadi kecil dan tidak dapat memberikan pulangan baik kepada semua pencarum. Sementara pencarum yang keluarkan wang sebelum masanya menghadapi risiko kekurangan wang apabila waktu masa tuanya.

Jadi kalau mereka memerlukan wang, mereka terpaksa meminjan dari bank. Sebab, apa yang ada dalam KWSP itu belum menjadi milik mutlaknya. Meminjam pula perlu cagaran

Sememang itu adalah sebahagian daripada sistem perbankan. Itupun kerajaan telah membuat peraturan bahawa simpanan dalam KWSP boleh dijadikan cagaran kepada peminjam.

Ada orang marah kerana apa yang mereka hendak ialah mengeluarkan wang daripada KWSP dan bukannya buat pinjaman. Tetapi begitulah sistem KWSP, wang di dalamnya tidak boleh dikeluarkan sebelum masanya.

Pinjaman adalah cara untuk mendapatkan wang. Kata mereka, pinjaman perlu dibayar balik. Tentulah sebab ia adalah pinjaman, bukannya pemberian.

Kemudian dipersoalkan bahawa bank akan mengenakan faedah. Perincian terhadap peraturan cagaran ini belum diketahui. Tentulah bank akan mengenakan faedah, begitulah sistem perbankan.

Kemudian dipersoalkan pula bahawa jika seseorang tidak dapat bayar, maka wang simpanannya akan digunakan untuk membayar pinjaman baliknya. Ini bermakna ia mengurangkan simpanannya. Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat KWSP supaya seseorang mempunyai simpanan untuk persaraan? Sudah tentu.

Jadi, apa yang hendak disebut di sini, ialah seseorang hanya boleh buat pinjaman jika semua pihak iaitu pencarum, bank dan KWSP yakin peminjam itu akan dapat membayar balik dengan faedah-faedahnya sekali. Jika tidak, pencarum itu tidak layak menjadi peminjam.

Kesimpulannya ialah institusi KWSP ditubuhkan kerana orang perseorangan susah hendak membuat simpanan bagi kegunaan pada hari-hari persaraan. Ia bukan kegunaan untuk waktu yang mana seseorang masih bekerja dan memperoleh pendapatan. Tentulah banyak orang tidak suka kesimpulan ini.

BACA JUGA: Mempertahankan kerajaan perpaduan adalah memelihara program untuk rakyat

Â