Lagi 3 bulan cukai barangan mewah diperinci
Perincian mengenai pelaksanaan cukai barangan mewah akan diperincikan pada Jun depan, termasuk jenis barangan yang dikenakan cukai.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan kini sedang memperincikan perkara itu termasuk jumlah cukai yang akan dikenakan.
“Kita sedang meneliti apakah barangnya, apakah jumlah cukainya… kita belum pastikan.
“Insya Allah, bulan Jun ini akan ada pengumuman tertentu untuk cukai barangan mewah ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan cukai barangan mewah bermula tahun ini, dengan nilai had tertentu mengikut jenis barangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah antara barangan yang akan dikenakan cukai berkenaan.
Mengenai syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, jumlah hutang diambil alih adalah sebanyak RM53.5 bilion.
Menurutnya, kerajaan setakat ini telah membayar melalui ‘shareholder advance’ atau pinjaman sebanyak RM24.5 bilion, bayaran melalui akaun amanah (RM19.3 bilion) dengan jumlah keseluruhan sudah dibayar hutang 1MDB adalah sebanyak RM43.8 bilion.
“Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan RM5 bilion prinsipal dan faedah RM4.7 bilion.
“Tetapi kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (IPIC) lebih kurang RM8 bilion,” jelasnya.
BACA JUGA ‘KP SPRM dilantik masa Pagoh jadi PM, kenapa tuduh ada pendakwaan terpilih?’
Â