Mahiaddin berdepan lagi dakwaan di mahkamah

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan dengan dakwaan di mahkamah.

Mahiaddin (Pagoh-PN) berdepan dengan satu tuduhan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) di Mahkamah Shah Alam.

Jika disabitkan kesalahan, presiden Bersatu itu boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Pada hari Jumaat, Mahiaddin mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan yang meliputi salah guna kuasa untuk rasuah bernilai RM232.5 juta dan pengubahan wang haram melibatkan RM195 juta.

Kes hari ini dibicarakan di depan hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh pukul 9 pagi.

Mahiaddin tiba di mahkamah seawal pukul 8 pagi. Timbalan presiden Bersatu Datuk Ahmad Faizal Azumu dan Wan Ahmad Fayshal (Machang-PN) turut berada di sana untuk memberi sokongan.

Mahiaddin merupakan bekas perdana menteri kedua yang berdepan tuduhan mahkamah.

BACA JUGA: Enam pertuduhan, RM427.5juta: Abah mengaku tidak bersalah