Sultan Selangor zahir syukur, negeri catat prestasi kewangan tertinggi 2022

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa negeri pada tahun 2022 yang cemerlang apabila berjaya mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Baginda bertitah negeri juga mencatat sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 24.8 peratus.

“Kutipan hasil negeri pada tahun 2022 telah merekodkan angka sebanyak RM2.533 bilion melebihi sasaran awal RM2.05 bilion dan lebih tinggi berbanding angka kutipan yang direkodkan pada tahun 2021 iaitu RM2.284 bilion.

“Beta turut bangga apabila pertumbuhan ekonomi negeri ini pada tahun 2021 mencatat angka 5.0 peratus mengatasi ekonomi nasional pada 3.1 peratus.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Menteri Besar yang berjaya mengemudi negeri ini dengan semangat ‘Kita Selangor’ dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik,” titah baginda dalam istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Ini merupakan sidang terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan yang dijangka pada Jun ini.