Tiada subsidi, dana awam diberi kepada syarikat pengimport telur – KPKM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan kerajaan tidak memberikan subsidi mahupun menggunakan sebarang dana awam untuk diberi kepada syarikat pengimport telur ayam di negara ini.

Menerusi kenyataan hari ini, kementerian diterajui oleh Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu syarikat pengimport telur ayam itu akan menanggung sepenuhnya sebarang perbelanjaan dan risiko dihadapi.

Menurutnya, kerajaan hanya memberikan subsidi telur ayam kepada syarikat pengeluar tempatan manakala kebenaran untuk mengimport telur ayam itu hanya bersifat sementara.

Jelasnya, kebenaran mengimport bahan makanan itu boleh ditamatkan bila-bila masa sebaik sahaja bekalan telur kembali stabil dan pulih.

“Pada 6 Disember lalu, Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak Oktober lalu.

“Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun ini diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd serta syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022,” memetik kenyataan itu.

Azmin Ali

Semalam, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan memberi kontrak import telur dari India, secara rundingan terus kepada sebuah syarikat milik peniaga permaidani.

Kata bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan, tindakan itu jelas bertentangan dengan janji Kerajaan Perpaduan berkenaan tawaran projek menerusi tender terbuka.

Dakwa mantan Ahli Parlimen Gombak itu lagi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, juga membawa ahli perniagaan terbabit dalam lawatannya ke India sebelum ini.

Sehubungan itu, syarikat yang diberi kebenaran mengimport telur dari India ke Malaysia tersebut mengancam untuk mengenakan tindakan saman terhadap Azmin.

Dalam satu kenyataan pengimport tunggal telur dari India tersebut, J&E Advance Tech Sdn Bhd menafikan dakwaan Azmin berhubung kontrak rundingan terus dan pengecualian keselamatan makanan.

Syarikat itu malah menyifatkan kenyataan Azmin adalah satu pembohongan terang-terangan yang direka untuk mengelirukan masyarakat bagi memesongkan kes jenayah yang difailkan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

BACA JUGA Tuduhan Azmin usaha bela Mahiaddin melalui pintu belakang