Ubat gigi ekstrak daun ganja tiada kaitan dengan PM, Rafizi

Polis mengesahkan bahawa satu bahan larangan berupa ubat gigi daun ganja yang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, siasatan lanjut terhadap bahan larangan yang dialamatkan kepada kedua-dua pemimpin itu akan diteruskan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata, sebelum ini kakitangan kaunter pertanyaan Kementerian Ekonomi membuat laporan polis memaklumkan menerima satu panggilan jam 9.10 pagi dari sebuah syarikat penghantaran.

Menurutnya, kakitangan lelaki itu memaklumkan syarikat penghantaran terbabit memberitahu terdapat satu bungkusan di atas nama Rafizi dan Anwar di hab Pulau Meranti, Dengkil.

“Berdasarkan maklumat, bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang mengandungi daun ganja. Jadi, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Ekonomi, Rashidi Ruskin.

“Kira-kira jam 6.30 petang hari sama, pengadu bersama dua anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang telah ke hab syarikat penghantaran itu dan merampas barang berkenaan,” ujarnya.

Wan Kamarul berkata, barang dirampas ialah kotak warna coklat ditampal dengan nama penerima, Mohd Rafizi Ramli dan Anwar Ibrahim beralamat di Menara Prisma, No 26, Persiaran Perdana, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Kotak itu memuatkan satu tiub ubat gigi berpenutup warna hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan Happy Green, mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi estrak daun ganja seberat 80 gram.

Hasil siasatan, tambahnya, mendapati barangan terbabit dibeli oleh pengirim melalui platform e-dagang secara dalam talian dari Indonesia.

BACA JUGA Ustaz gelar polis bodoh sudah lama dijatuhi hukuman denda RM7,000

Â