Cakna nasib mangsa banjir Johor, AMANAH Negeri Sembilan hulur bantuan
Cakna dengan nasib mangsa banjir di Johor, Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, tampil melaksanakan misi kemanusiaan dan bantuan ke Batu Pahat, baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, misi bantuan itu melibatkan 11 kenderaan dari beberapa kawasan seperti Jempol, Jelebu, Tampin, Port Dickson dan juga Seremban.
“Barangan yang diperlukan seperti bahan makanan kering, tilam, toto, bantal, kelengkapan pembersihan dan beberapa kelengkapan wanita serta kanak-kanak juga dibawa dalam misi berkenaan.
“Kita semua tahu bahawa banjir merupakan bencana semulajadi yang tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berganding bahu untuk membantu mereka yang terlibat dalam musibah ini,” tulisnya di laman Facebook beliau.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar dilapor berkata, banjir di daerah itu dijangka surut dalam tempoh dua minggu atau sebulan.
Katanya, perkara itu bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor yang menempatkan pam air di beberapa lokasi di sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lalu.
“Ujian yang kita hadapi sejak 1 Mac lalu ialah air banjir tinggi dan kini air sedang mengalir keluar.
“Kita jangka dua minggu atau sebulan akan surut kerana keadaan air banjir termenung, jadi kita kena pam keluar (air).
“Sebanyak 21 pam lagi akan dibawa dari semua negeri ke Batu Pahat, tetapi (untuk memasang) pam air ini kita mesti melihat air sungai tidak melepasi paras tebing,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pam air tambahan dipasang di Pintu Air Kuala Senggarang.
BACA JUGA Tiada yang terlepas bayar royalti pasir, pendapatan Negeri Sembilan bertambah
Â