Hamzah buat kesalahan serius simpan fail KDN walau bukan lagi menteri

Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dianggap telah melakukan kesalahan serius apabila mengakui mempunyai ‘banyak fail’ mengenai pemimpin kerajaan semasa beliau menjadi menteri.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, memandangkan Hamzah bukan lagi menteri dalam negeri, beliau tidak sepatutnya menyimpan fail kerajaan dengan sengaja.

Lim turut mempersoal berapa banyak sebenarnya fail kerajaan yang Hamzah simpan walaupun tidak lagi menjadi menteri KDN.

“Adakah Hamzah akan menyerahkan dirinya kepada polis? Kerana jelas dia telah menyimpan fail kerajaan dengan sengaja walaupun dia bukan lagi menteri KDN.

“Berapa banyak fail kerajaan yang sengaja disimpan?

“Jika fail yang disimpan Hamzah menunjukkan bahawa pemimpin Pakatan Harapan-Umno bersalah atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, kenapa tidak diambil tindakan pada zaman kerajaan Perikatan Nasional?,” tanya bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

hamzah

Hamzah dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin, mendedahkan beliau mempunyai akses kepada dokumen berkenaan pemimpin lain.

Ketua pembangkang itu berkata demikian sebagai peringatan kepada kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.

“Jangan cari salah saja. Saya boleh cari salah mereka.

“Saya pernah jadi menteri dalam negeri. Saya rasa saya ada banyak fail berkenaan mereka juga, (terpulang) sama ada saya nak gunakannya atau tidak,” kata Hamzah semasa mengulas dakwaan penganiayaan politik oleh kerajaan.

Baca juga: Parlimen: PM Anwar jelaskan sasaran pengurangan defisit tanpa bebankan rakyat